468x60 Ads



Dikongsi dari jutawanemas.com serta hargaemas.com

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar pembaca semua? Saya doakan anda semua sihat, ceria dan gembira adanya :)

Baiklah kali ini saya ingin berkongsi maklumat berkenaan zakat emas dan perak serta kaedah pengiraannya.

Untuk pengetahuan anda emas dan perak adalah termasuk di dalam kategori logam berharga yang diwajibkan zakat jika cukup haul dan nisab
- Haul merujuk kepada tempoh masa iaitu setahun.
- Nisab pula merujuk kepada nilai berat.

Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:

“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat diri mu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu” (At- Taubah; ayat 34-35)


Pengiraan zakat emas

Zakat emas dikira dalam dua keadaan iaitu:
1. Zakat emas yang disimpan (tidak dipakai)
2. Zakat emas yang dipakai.

1. Zakat emas yang disimpan (tidak dipakai)

Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.
Contoh: Anda memiliki 100 gram jongkong emas bernilai RM160/gram (harga semasa) dan telah menyimpannya selama setahun.
Jumlah zakat = 2.5% x RM16,000
= RM400

2. Zakat emas yang dipakai (sebagai perhiasan)

Zakat Emas Perhiasan
Syarat-syarat:
1. Islam
2. Merdeka
3. Sumber yang baik
4. Cukup nisab = 85gm
5. Cukup haul = 1 tahun masihi atau hijri
6. Sempurna milik.


 Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ia melebihi ‘uruf’ (uruf merujuk kepada nilai kebiasaan pemakaian emas bagi wanita di sesebuah tempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan daripada nilai uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.
Contoh: Jika anda bermastautin di Wilayah Persekutuan maka kadar uruf adalah 150 gram emas. (jika anda bermastautin di negeri lain, sila rujuk kadar uruf bagi negeri anda di bawah)
Contoh: Berat emas yang dipakai ialah 250 gram
Berat Emas yang layak dizakatkan adalah:
= 250 gram – 150 gram (uruf)
= 100gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)
(andaian harga emas semasa RM157.00 / gram)
= 2.5% x (100 gram x RM157.00)
= RM392.00

Nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.
  1. Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
  2. Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
  3. Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
  4. Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000
  5. Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
  6. Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
  7. Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
  8. Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
  9. Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
  10. Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
  11. Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
  12. Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
  13. Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
  14. Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram
(Sumber: Laporan kajian penetapan uruf emas pakai negeri Pahang Darul Makmur tahun 2008) (klik)

Soalan-soalan lazim yang perlu diketahui mengenai zakat emas:

1. Soalan: Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam skim Ar-Rahn, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu?
Jawapan: Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik

2. Soalan: Adakah emas yang disimpan di dalam bank (safe deposit box) perlu dizakatkan?
Jawapan: Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.

3. Soalan: Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?
Jawapan: Tidak wajib dizakatkan kecuali setelah ditebus semula. Kiraan haul bermula pada hari ditebus.

4. Soalan: Ibu saya mempunyai emas yang sudah cukup syarat untuk dizakatkan. Tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat. Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Daripada sumber mana yang perlu digunakan untuk membayar zakat tersebut?
Jawapan: Waris perlulah melunaskan bayaran zakat tersebut dengan menggunakan duit si mati sebelum harta peninggalannya di faraid.

5. Soalan: Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
Jawapan: Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.

6. Soalan: Saya ada emas yang dipakai. Ia tidak cukup untuk dikeluarkan zakat. Tetapi jika dicampurkan dengan emas yang digadai, cukup untuk bayar zakat. Persoalannya, wajib kah saya membayar zakat?
Jawapan: Tidak wajib dikenakan zakat kerana tidak cukup nisab dan emas yang digadai tidak sempurna milik.

p/s: Banyak lagi persoalan zakat yang boleh didapati dengan melawat link diatas.


Pengiraan zakat perak

sumber: http://zakat.com.my/zakat-perak

Menurut hukum syarak, logam perak adalah termasuk dalam kategori jenis-jenis harta yang dikenakan zakat. Pada umumnya barang-barang logam perak yang digunakan oleh manusia terdiri dari 4 bentuk utama:
  1. Jongkong perak
  2. Matawang perak
  3. Perkakas atau perhiasan rumah daripada perak
  4. Barang perhiasan/barang kemas perak

Sabda Rasulullah SAW

Maksudnya: "..Tidak diwajibkan zakat pada perak jika kurang daripada 5 awsuq (bersamaan lebih kurang 930 liter)". (Riwayat Muslim)
Maksudnya: "Pada perak (zakatnya) 1/40...". (Riwayat Al-Bukhari )

Bagi zakat perak, ia perlu memenuhi syarat cukup haul dan nisab.
- Haul ialah tempoh masa setahun  
- Nisab zakat perak sebanyak 200 dirham iaitu sama atau melebihi 595 gram (1 dirham = 2.975 gram)
Formula: [berat perak (gram)] x [harga perak semasa/gram] x 2.5%
Contoh: Anda menyimpan 1kg perak 999
Katakan harga semasa 1kg perak 999 adalah RM4500
Zakat perak yang wajib dibayar = 2.5% x RM4500
= RM112.50


Kesimpulan



Saya berharap agar topik ini membantu anda memahami persoalan zakat emas dan perak. Ini kerana zakat merupakan kewajipan terhadap orang Islam yang cukup syarat. Sebagai pelabur sudah tentu kita inginkan kekayaan dunia dan kekayaan di akhirat . Keberkatan di dunia dan keberkatan di akhirat.

0 comments:

Post a Comment